Thursday, 25 August 2011

Jangan Biarkan Roh Mati, Ramadhan adalah Satu Permulaan.

SOPHEA MOHD ALI | AUGUST 26, 2011 |10:15AM
_________________________________________________________________________


Begitu sinonim bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dengan amalan-amalan soleh yang ditabur demi mengutip ganjaran daripada Allah swt. Namun sedarkah kita bahawa ganjaran pahala semata-mata bukanlah matlamat 
pengisian malam-malam Ramadhan kerana tersirat suatu keperluan tenat di sebalik amalan soleh yang disarankan oleh Rasulullah saw untuk di manfaatkan sebaik mungkin.

Keperluan tenat dalam maksud sebenar adalah apabila pembacaan Al-Quran di malam Ramadhan ini secara langsung bertindak sebagai  pengimbang keperluan badan dan jiwa kita. Kita telah pun "obsess" memenuhi keperluan fizikal dan kerap mengabaikan makanan jiwa ini disepanjang tahun. Maka pada bulan ini, sangatlah perlu untuk kita mengimbangi semula keadaan tersebut bagi melahirkan jasmani dan rohani yang sihat. Justeru itu, kesedaran bahawa Ramadhan juga merupakan  bulan pertolongan Allah swt terhadap kita amatlah penting. Allah swt menahan badan kita daripada menerima makanan di waktu siang dan menggalakkan pula kita untuk memberi makanan kepada jiwa di waktu malam bagi mengembalikan semula keseimbangan di antara jasmani dan rohani tersebut.

Roh juga sama seperti fizikal yang boleh menjadi lemah, kurus dan sakit jika tiada penjagaan pemakanan yang secukupnya. Ia juga boleh diibaratkan seperti dua orang yang sedang kelaparan semasa di bulan Ramadhan. Seperti kita mempunyai dua orang anak tetapi kita hanya memberi makan kepada seorang anak sahaja. Natijahnya, kematian pasti berlaku ke atas anak yang diabaikan tadi.

Seriusnya kematian jiwa ini apabila ia mampu menjurus kepada kematian tauhid yang akan melahirkan insan yang hilang kepercayaan bertuhan mereka.Maka tidak hairanlah jika kita melihat ramai di kalangan muslim pada hari ini sudah mula goyah kepercayaan mereka terhadap Islam akibat mengabaikan terus pembacaan Al-Quran.Roh mereka telah koma dan akhirnya menemuai ajal. Alhasil, kita mendengar mereka berkata bahawa saya tidak pasti tuhan itu wujud atau tidak.

Seperti badan kita yang dijadikan daripada tanah memerlukan makanan yang ada di muka bumi untuk hidup, begitu juga dengan roh kita yang telah dimasukkan cahaya sejak dari dalam kandungan  ibu lagi dan cahaya itu memerlukan makanan yang juga diturunkan sebagai cahaya untuk lengkap melengkapi.Makanan roh kita adalah Al-Quran yang juga dipanggil sebagai cahaya  oleh Allah swt. Kedua-dua cahaya ini perlu bersatu demi mendapatkan kesuburannya. Allah swt menerangkan tentang kepergantungan ini di dalam surah An-Nur, "cahaya berlapis cahaya" iaitu cahaya di dalam roh berlapis dengan cahaya Al-Quran.

Allah swt berfirman;

Al-Quran adalah sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil) geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu- dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya)walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNYA itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah maha mengetahui tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nur 24:35)

Allah swt sebenarnya meletakkan kita di dalam satu kursus di mana kita mula mengurangkan pengambilan makanan masuk ke dalam badan dan memberi ruang kepada roh kita untuk terus subur. Proses penyuburan roh ini berlaku di waktu malam di  sepanjang Ramadhan.Proses di mana kita membuka dan membaca Al-Quran.Tetapi jika pembacaan Al-Quran di Ramadhan yang mulia ini masih dipandang  ringan oleh kebanyakan kita, maka terabailah pembelaan jiwa tersebut.Mereka ini walaupun tampak secara zahirnya merupakan seorang muslim yang sihat tetapi hakikatnya rohani mereka sedang tenat menderita.

Maka dengan itu, di kesempatan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut Aidilfitri, marilah kita memperbetulkan kembali persepsi kita bahawa pembacaan Al-Quran adalah satu keperluan yang serius bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala. Dengan memahami kebergantungan jiwa terhadap Al-Quran, ianya tidak mungkin lagi menjadi satu pilihan untuk kita tidak memanfaatkan keajaiban yang Allah swt kurniakan ini. Sama-samalah kita mengambil peluang ini untuk menyuburkan lagi jiwa kita agar tidak mati, malah semakin bersinar cahaya kesuburannya di Ramadhan ini dan juga berterusan sepanjang tahun...Insha'allah..

No comments:

Post a Comment