_________________________________________________________________________
Begitu sinonim bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini
dengan amalan-amalan soleh yang ditabur demi mengutip ganjaran daripada Allah
swt. Namun sedarkah kita bahawa ganjaran
pahala semata-mata bukanlah matlamat pengisian malam-malam Ramadhan kerana tersirat suatu keperluan tenat di sebalik amalan soleh yang disarankan oleh Rasulullah saw untuk di manfaatkan sebaik mungkin.
Keperluan tenat dalam maksud sebenar adalah apabila
pembacaan Al-Quran di malam Ramadhan ini secara langsung bertindak sebagai pengimbang keperluan badan dan jiwa kita. Kita
telah pun "obsess" memenuhi keperluan fizikal dan kerap mengabaikan makanan
jiwa ini disepanjang tahun. Maka pada bulan ini, sangatlah perlu untuk kita mengimbangi semula keadaan tersebut bagi melahirkan jasmani dan rohani yang sihat. Justeru itu, kesedaran bahawa Ramadhan juga
merupakan bulan pertolongan Allah swt terhadap kita amatlah penting. Allah swt menahan badan kita daripada menerima makanan di waktu siang dan menggalakkan pula kita
untuk memberi makanan kepada jiwa di waktu malam bagi mengembalikan semula
keseimbangan di antara jasmani dan rohani tersebut.
Roh juga sama seperti fizikal yang boleh menjadi lemah,
kurus dan sakit jika tiada penjagaan pemakanan yang secukupnya. Ia juga boleh diibaratkan seperti dua orang yang sedang kelaparan semasa di bulan Ramadhan. Seperti kita mempunyai dua orang anak tetapi
kita hanya memberi makan kepada seorang anak sahaja. Natijahnya, kematian
pasti berlaku ke atas anak yang diabaikan tadi.
Seriusnya kematian jiwa ini apabila ia mampu menjurus kepada kematian tauhid yang akan melahirkan insan yang hilang kepercayaan
bertuhan mereka.Maka tidak hairanlah jika kita melihat ramai di kalangan muslim pada hari ini sudah
mula goyah kepercayaan mereka terhadap Islam akibat mengabaikan terus pembacaan Al-Quran.Roh mereka telah koma dan akhirnya menemuai
ajal. Alhasil, kita mendengar mereka berkata bahawa saya tidak pasti
tuhan itu wujud atau tidak.
Seperti badan kita yang dijadikan daripada tanah memerlukan
makanan yang ada di muka bumi untuk hidup, begitu juga dengan roh kita yang
telah dimasukkan cahaya sejak dari dalam kandungan ibu lagi dan cahaya itu memerlukan makanan
yang juga diturunkan sebagai cahaya untuk lengkap melengkapi.Makanan roh kita adalah Al-Quran yang juga dipanggil sebagai cahaya oleh Allah swt. Kedua-dua cahaya ini perlu bersatu demi mendapatkan kesuburannya. Allah swt menerangkan tentang kepergantungan ini di dalam surah An-Nur, "cahaya berlapis cahaya" iaitu cahaya
di dalam roh berlapis dengan cahaya Al-Quran.
Allah swt berfirman;
Al-Quran adalah sebuah "misykaat" yang berisi
sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil) geluk kaca itu pula (jernih
terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan
minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan
sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya
(tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu-
dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya)walaupun ia
tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah
sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa
yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur
hidayahNYA itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk
umat manusia; dan Allah maha mengetahui tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nur
24:35)
Allah swt sebenarnya meletakkan kita di dalam satu kursus di mana kita
mula mengurangkan pengambilan makanan masuk ke dalam badan dan memberi ruang
kepada roh kita untuk terus subur. Proses penyuburan roh ini berlaku di waktu malam di
sepanjang Ramadhan.Proses di mana kita membuka dan membaca Al-Quran.Tetapi jika pembacaan Al-Quran di Ramadhan yang mulia ini masih dipandang ringan oleh kebanyakan kita, maka terabailah pembelaan jiwa tersebut.Mereka ini walaupun tampak secara zahirnya merupakan seorang muslim yang sihat tetapi hakikatnya rohani mereka sedang tenat menderita.
Maka dengan itu, di kesempatan yang hanya tinggal beberapa hari
sahaja lagi untuk menyambut Aidilfitri, marilah kita memperbetulkan kembali persepsi kita bahawa pembacaan Al-Quran adalah satu keperluan yang serius bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala. Dengan memahami kebergantungan jiwa terhadap Al-Quran, ianya tidak mungkin lagi menjadi satu pilihan untuk kita tidak memanfaatkan keajaiban yang Allah swt kurniakan ini. Sama-samalah kita mengambil
peluang ini untuk menyuburkan lagi jiwa kita agar tidak mati, malah semakin bersinar cahaya kesuburannya di Ramadhan ini dan juga berterusan sepanjang tahun...Insha'allah..
