Friday, 25 May 2012

Kitakah isteri yang dicari...?

Monday, November 29, 2010
Dari pengalaman hidup melihat sikap dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri yang baik pada seorang suami.

Betul tak saudara-saudara perempuanku… :P

[Ya, bukan semua.. sebahagian perempuan tidak terusik hati pun dengan kebaikan dan kesolehan lelaki…]

Idealnya, semua yang memiliki hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu…

Ada yang inginkan yang kaya dan hensem..yang penuh sifat kelelakian.

Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’…

Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan.

Namun, apakah realiti yang sering berlaku…?
Bila suami baik…

“ Abang ni baik sangatlah.. kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah terlalu uzur.

Bila suami bertanggungjawab…

“Abang ni asyik balik kerja lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis.. Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..”

Sedangkan suami pulang lewat kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak.

Bila suami berkarakter penuh kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami. Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki..

Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…?

Atau kita hanya ingin menjadi isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..?

Bila suami peramah..

“ Abang ni tak payah lah senyum kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..”

Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin.

Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh…

“Abang ni asyik baca buku..asyik depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah, kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas hati.

Sedangkan dulu si isteri mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang giat aktif..

Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..”

Kerana setelah berkahwin dengan ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah ciri-ciri idaman.

Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’.

Sedangkan nantinya, sukar para isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi.

“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..”

“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…”

“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…”

Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya.

Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya.



Seorang suami itu juga mengharap isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah [mendidik].

Suami berharap isteri berhenti bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan keredhaan tuhan.

Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..?

Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…?

Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…?

Ingin yang sekufu, namun sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan?

Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu.

Tapi realiti nya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu.

Dan kita tak berubah dengan kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi.

Lalu sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan dengan istikharah dan musyawarah.

Mampu membawa diri yang bagaimana..?

Jika suami kaya, bagaimana untuk kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita ‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya).

Jika suami orang kampung, bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita.

Jika suami bijak atau bergulung ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu..

Jika suami miskin atau berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri, kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar ditaati dan dihormati.

Jika suami sebaya atau lebih muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja, bukan pandai sangat buat keputusan.

Jika suami lebih berusia, bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak pengalaman dan pengetahuannya..

Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman..

Ayuh kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman … apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi isteri yang pandai membawa diri, walau siapapun ditakdirkanNYA buat kita…

Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan..

Menjadi isteri yang bahagia bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap keadaan..

Sekian perkongsian, harap bermanfaat..
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nurul Adni Adnan adalah seorang Muslimah yang aktif mengenegahkan pendapat beliau mengikut perspektif Islam di dalam bidang penulisan. Beliau juga adalah isteri kepada seorang juruterbang yang juga aktif bergiat di dalam bidang dakwah melalui penulisan buku-buku aitu Kapt Hafiz  Firdaus. Laman blog beliau boleh dilayari  di http://sisi-kehidupan.blogspot.com.au/Kitakah isteri yang dicari....?

Wednesday, 1 February 2012

Perkhidmatan Ahli Sihir dalam Arus Pemodenan dan Hukumnya di sisi Syariat


Arus pemodenan yang melanda dunia tidak pernah menghalang masyarakat Muslim dari terus-terusan mencari pakar ilmu ghaib (ahli sihir) yang mereka yakini dapat menyelesaikan segala permasalahan dan keinginan mereka. Kadangkala bila diperhatikan, menjadi sesuatu yang tidak masuk dek akal bila ada di kalangan masyarakat Islam menyerahkan kebanyakan urusan seperti demam dan selsema hinggalah ke urusan mencari jodoh dan masalah rumahtangga kepada bomoh dan dukun.


Dewasa ini, khidmat para bomoh, dukun dan mereka yang senama dengannya pula sudah setanding dengan peredaran zaman bila mana mereka menggunakan perkhidmatan internet untuk mengiklankan perkhidmatan mereka, menyenaraikan jampi-serapah dan mempromosikan bahan-bahan sihir mereka yang disertai dengan jaminan dari mereka akan keberkesanan dan kemujarabannya. Kejayaan mereka menguasai arus pemodenan ini merupakan satu gerbang yang mendekatkan masyarakat Muslim pada dunia mistik serba khurafat dan syirik. Pendek kata, tidak ada apa yang mustahil untuk mendapatkan apa jua khidmat dan bahan sihir kerana semuanya kini berada di hujung jari.

Dalam hal ini, Zaenal Abidin Syamsudin menyatakan dalam bukunya berjudul Membongkar Dunia Kelinik Dan Perdukunan Berkedok Karamah bahawa:

Di antara hal yang perlu diwaspadai adalah bahawa para tukang sihir mempermainkan akidah ummat Islam di mana mereka menampakkan diri seakan-akan sebagai tabib, ahli hikmah, ustaz atau kiyai. Sehingga mereka menyesatkan kaum Muslimin yang sedang sakit agar menyembelih kambing atau ayam dengan ciri-ciri tertentu yang ditujukan kepada jin.[2]

Perihal berjumpa bomoh dan mendapatkan khidmat mereka sebenarnya sudah disentuh dalam al-Quran dan oleh Nabi Muhammad s.a.w sejak dahulu lagi. Dalam al-Quran, Allah s.w.t mengingatkan dalam firman-Nya:

[3]ألم تر إلى الذين أوتوا نصيبا من الكتاب يؤمنون بالجبت والطاغوت

Maksudnya: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari al-kitab? Mereka percaya kepada jibt dan taghut (51)

Dalam kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan al-Jibt dalam ayat di atas ialah al-Sihr (sihir), al-Kahin (dukun) dan kalimah yang terdapat pada berhala, dukun dan tukang sihir. Manakala al-Taghut bermaksud syaitan.[4]

Sesungguhnya baginda juga telah menyatakan larangan dari mendatangi dan berjumpa bomoh sebagaimana yang boleh diteliti dalam sabda-sabda baginda berikut:

عن معاوية بن الحكم السلمى قال قلت يا رسول الله أمورا كنا نصنعها فى الجاهلية كنا نأتى الكهان. قال : فلا تأتوا الكهان


Maksudnya: Daripada Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulamiyy, beliau telah berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah ada beberapa perkara yang telah kami lakukan semasa Jahiliyyah, sesungguhnya kami berjumpa bomoh. Lalu baginda bersabda: “Janganlah kalian berjumpa bomoh”… [5]

عن بعض أزواج النبى -صلى الله عليه وسلم- عن النبى -صلى الله عليه وسلم- قال : من أتى عرافا فسأله عن شىء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة 

Maksudnya: Daripada sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. Daripada Nabi s.a.w, baginda telah bersabda: “Sesiapa yang berjumpa tukang ramal dan bertanya padanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam”. [6]

عن أبي هريرة والحسن عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : من أتى كاهنا أو عرافا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه و سلم

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah dan al-Hasan. Daripada Nabi s.a.w, baginda telah bersabda: “Siapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun[7] kemudian membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya orang itu telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w”.[8]


Menerusi daripada hadith-hadith tersebut, jelas kepada kita bahawa hukum berjumpa dan mendapatkan khidmat bomoh terbahagi kepada dua:

(1) Jika seseorang itu berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang seumpama dengannya lalu bertanyakan sesuatu kepadanya tetapi tidak mempercayainya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam.

(2) Manakala jika dia mempercayainya, maka dia telah kafir dan terlepas dari agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

___________________________________________

[2] Zaenal Abidin Syamsudin, Membongkar Dunia Klenik dan Perdukunan Berkedok Karomah, Pustaka Imam Abu Hanifah, Jakarta, 2008, hlm 86.
[3] al-Quran, al-Nisa’ 4:51.
[4] Ibn Kathir, Jil. 2, hlm 334. [Dipetik dengan pengubahsuaian oleh penulis]
[5] H.R Muslim dalam Kitab Sahihnya; Kitab al-Salam, Bab Tahrim al-Kahanah wa Ityan al-Kuhhan, No. 5949 & Kitab al-Masajid, Bab Tahrim al-Kalam fi al-Solah, No. 1227 dengan penambahan pada lafaz hadithnya sebagaimana berikut:

قلت ومنا رجال يخطون. قال « كان نبى من الأنبياء يخط فمن وافق خطه فذاك ». قال قلت جارية لى كانت ترعى غنيمات قبل أحد والجوانية إذ اطلعت عليها إطلاعة فإذا الذئب قد ذهب بشاة منها وأنا من بنى آدم آسف كما يأسفون لكنى صككتها صكة فعظم ذاك على رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فقلت أفلا أعتقها قال « ائتنى بها ». قال فجئته بها فقال « أين الله ». قالت فى السماء. قال « من أنا ». قالت أنت رسول الله. قال « أعتقها فإنها مؤمنة ».

Takhrij Kutub al-Arba’ah: H.R Abu Daud dalam kitab Sunannya; Kitab al-Solah, Bab Tasymit al-‘Atis fi al-Solah, No. 931 & al-Nasa’i dalam kitab Sunannya; Kitab al-Solah, Bab al-Kalam fi al-Solah, No. 1218.
Hukum Hadith: Dinilai Sahih oleh al-Albani dalam kitabnya Sahih Abi Daud, No. 930 dan Sahih al-Nasa’i, No. 1217.
[6] Ibid., No. 5957.
[7] Al-Kahin ialah orang yang meramal apa yang akan terjadi, mengaku mengetahui rahsia-rahsia (perkara ghaib) dan menguasai ilmu ghaib. Al-'Arraf ialah orang yang mengaku mengetahui dengan kefahaman (keistimewaan) yang diberikan kepadanya. Mereka mengaku mengetahui banyak perkara menggunakan sebab (alamat-alamat) yang menunjukkan kepada berlakunya sesuatu. Contohnya ada barang yang dicuri, dia tunjukkan siapa yang mencurinya. (al-Baghawi, al-Husain bin Mas’ud, Syarh al-Sunnah, al-Maktab al-Islamiyy, Beirut, 1983, Jil. 12, hlm 182)


Menurut al-Hilali, termasuk perkara yang diharamkan ialah meramal dengan melempar batu, ilmu astrologi (ilmu perbintangan), ilmu ramal dengan melihat garis tangan, meramal dengan nombor, meramal dengan melihat air di mangkuk dan sebagainya semua ini termasuk praktik perdukunan. (al-Hilali, Salim bin Ied, Ensiklopedi Larangan Menurut al-Quran & al-Sunnah, Terj: Abu Ihsan al-Atsari, Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Jakarta, 2008, Jil. 1, hlm 102.)

[8] H.R Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya, Musnad al-Mukthirina min al-Sahabah, Musnad Abi Hurairah r.a, No. 9532.
Hukum Hadith: al-Haithami dalam kitab Majma’ al-Zawaid, No. 5/121: periwayat hadith ini adalah thiqah. Manakala Ibn Baz dalam kitab Majmu’ al-Fatawa ibn Baz pula mengatakan: sanad hadithnya sahih, No. 9/421.

Tentang Penulis:
Ustazah Sakinah Sabtu merupakan seorang Pensyarah sambilan di Institute Pengajian Tinggi Az-Zuhri. Beliaugiat menyumbang kepada pembangunan ummah melalui beberapa halaman blog. Sila layari http://www.umairah-sh.blogspot.com,http://www.sakinahsaptu.tumblr.com untuk mengikuti lembaran penulisan beliau.

Tuesday, 1 November 2011

Atasi Kritikan yang Tidak Membina dan Mulakan Kritikan yang Membina!

SOPHEA MOHD ALI| 2 NOV 2011| 11:36AM


Atasi  Kritikan yang Tidak Membina dan Mulakan Kritikan Membina!



Di setiap tempat kerja, setiap rumah dan setiap hubungan sosial, kritikan menjadi makanan seharian kita. Kritikan yang tidak membina adalah suatu fenomena biasa di dalam kehidupan. Selagi kita menyerlah, produktif, berjaya, tidak sefikrah dengan orang lain dan mampu menggugat kredibiliti seseorang, bersedialah untuk kerap menghadapi kritikan jenis ini. Kecuali, jika kita mampu untuk tidak dikesan oleh manusia dengan hidup di bawah tanah atau pun mencipta roket yang boleh membawa kita ke angkasa, barulah kita boleh bernafas lega kerana terhindar daripada sumber kritikan sebegini. Pendek kata, selagi kita bertempat di planet bumi, harapkan untuk disakiti, dihina dan dikritik!

Allah swt yang Maha Agung, pencipta sekalian makhluk lagikan dihina oleh manusia-manusia yang jahil, inikan pula kita hambanya yang kerdil dan penuh dosa. Islam mampu sampai dan dinikmati oleh kita hari ini bukankah hasil daripada kesabaran Rasulullah saw menghadapi kritikan? Jadi, layanan yang bagaimana kita harapkan daripada manusia? Kita akan sentiasa menghadapi kritikan manusia, diserang tanpa putus dan ianya tidak akan berakhir selagi kita bernyawa.

Ketidakpuasan hati manusia tidak datang tanpa sebab. Seseorang yang kelebihannya terserlah dan melebihi orang lain dalam sesuatu perkara seperti lebih alim, lebih berpengetahuan, berakhlak mulia atau lebih kaya menjadi faktor penyumbang kepada kritikan yang tidak membina. Manusia yang sakit mudah tergugat dan tidak merasa selamat dengan keadaan ini. Siapa yang rela digugat? Hanya manusia positif sahaja yang akan terus-menerus memperbaiki kelemahan diri tanpa menyimpan dendam atau dengki. Namun, hidup di tengah-tengah mentaliti yang mengutamakan kebendaan semata-mata, sikap sebegini sememangnya sukar dikikis. Masing-masing mahu menunjukkan kehebatan diri dan sanggup tindas-menindas. Hanya taqwa kepada Allah swt sahaja mampu menjernihkan keadaan.

Di dalam Islam, Kita disarankan untuk bersikap sesederhana mungkin. Jika kita seorang yang berpengetahuan sekalipun, hendaklah kita sentiasa bersikap rendah diri dan tidak bongkak bagi menghalang fitnah yang lebih besar daripada berlaku.Seringkali, kritikan yang tidak membina membawa kepada pergaduhan atau kesedihan apabila kita tidak mampu menghadapinya dengan bijak.Untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku dan bagi menjaga hubungan yang baik sesama manusia, kita perlu tahu cara yang berkesan untuk mengatasinya agar pergaduhan, bermasam muka dan sebagainya dapat dielakkan kerana ukhuwah yang baik adalah antara perkara penting yang disarankan di dalam islam. Rasulullah saw bersabda;

 “Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih daripada tiga hari” ( Riwayat Bukhari)


Sebagai seorang Muslim juga, mencegah kemungkaran adalah menjadi tanggungjawab bersama.

Allah swt berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 ;
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.


Namun seringkali  juga kita berada di dalam dilema untuk menjalankan amanah ini kerana bimbang pihak yang dikritik tidak dapat menerima dengan hati yang terbuka. Maka dengan itu, cara dan pendekatan yang terbaik dalam mencegah kemungkaran atau memberi kritikan mesti di pelajari dan diamalkan agar tidak berlaku pertelingkahan atau menjauhkan seseorang daripada mengenali Islam dan yang paling perlu dijaga adalah hubungan kita dengan Allah swt tidak terjejas akibat gagal mengendalikan amanah tersebut dengan baik. Menyedari akan kepentingan subjek ini, saya ingin berkongsi beberapa panduan pengurusan kritikan bagi mengekalkan keharmonian perhubungan sesama manusia lebih-lebih lagi hubungan sesama islam.



Cara Untuk Mengatasi Kritikan yang Tidak Membina

1) Jangan pernah putus berdoa
Doa mesti didahulukan dalam apa jua perkara sekalipun. Kita tidak akan mampu menghadapi segala cabaran hidup tanpa mengharapkan pertolongan dari Allah swt. Mohon Allah swt berikan kekuatan untuk menghadapi segala kritikan agar kita tidak mudah melenting marah, sedih, berperasangka buruk, angkuh, bersikap "defensive" dan sebagainya yang secara tidak langsung akan menjauhkan kita dari redha Allah swt.

2) Bersikap cekal, sabar & pemaaf
Di mata pengkritik, orang yang mempunyai kelebihan ini adalah pengacau yang menggugat kredibiliti diri mereka. Di antara tujuan mengkritik tidak lain adalah  mengharapkan agar seseorang yang dikritik itu tidak tunjuk pandai, tidak produktif, tidak berjiwa besar dan "playing dumb" selepas itu. Hasil tomahan atau kelemahan sebeginilah yang mahu dilihat oleh para pengkritik ini. Maka dari itu, bersikap cekal dan bersabarlah apabila menghadapi sebarang hinaan atau kritikan yang tidak membina daripada golongan ini. Jika kita mudah terkesan dengan kata-kata meraka dan kritikan negatif itu mempengaruhi mood dan perasaan kita, tanpa sedar kita sebenarnya sudah pun merealisasikan harapan mereka.

Daripada menunjukkan reaksi yang merugikan diri sendiri, adalah lebih baik jika kita memaafkan mereka dan menunjukkan sikap yang baik terhadap mereka. Jauhkan diri jika perlu tanpa memutuskan silaturahim dan tidak perlu merasa terkesan dengan tindakan mereka. Kritikan mereka itu sebenarnya menunjukkan ada sesuatu yang baik dan bernilai dalam diri kita maka pilihlah untuk berfikiran possitif. Dengan cara itu potensi diri dapat terus-menerus digilap tanpa perlu memberikan ruang pada diri untuk bersedih. Contohilah sikap Rasulullah saw yang apabila disakiti, baginda membalas dengan kebaikan pula.


3) Berbaik sangka
Sekali-sekala tanyakan diri kita "Mengapa agaknya manusia sanggup meluangkan banyak masa dan tenaga untuk mengkritik kita?" Mungkin disebabkan oleh rasa ambil berat mereka terhadap kita. Mungkin juga kerana mereka inginkan yang terbaik buat kita. Tidak salah untuk berbaik sangka malah dituntut di dalam islam walaupun kita sedar keadaan adalah sebaliknya tetapi ia adalah jauh lebih baik daripada terus-menerus tenggelam di dalam prasangka yang tak berkesudahan dan melemaskan, bukan? Prasangka baik juga boleh mengelakkan diri dari terus terjerumus dengan bisikan syaitan yang sering mengapi-apikan keadaan agar menjadi lebih buruk seterusnya menambahkan akaun dosa kita.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Qur'an 49:12)


4) Ia adalah ruang perbaiki diri dan Muhasabah
Raikan kritikan kerana dengan cara ini kita juga berpeluang untuk menilai diri. Jangan terlalu bersikap "defensive" sehinggakan kita langsung tidak mahu menilai sama ada kritikan yang diberikan itu benar atau tidak. Guna kritikan yang diberi dengan cara yang positif dan anggap ia sebagai suatu hadiah yang memanfaatkan. Kritikan juga boleh menjadi satu alat bantuan untuk mengesan kelemahan diri dan sebagai proses pembelajaran sepanjang hidup. Islam juga menyarankan kita agar sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri dari masa ke masa. Pahala berterusan akan dapat kita raih jika kita sentiasa berniat untuk menjadi manusia yang lebih baik dari masa ke masa kerana Allah swt.

5) Jangan malu meminta penjelasan
Jika kritikan yang diberi tidak dapat difahami dengan jelas, jangan malu untuk meminta penjelasan. Ia adalah lebih baik daripada memendam perasaan yang akhirnya membawa kepada hubungan yang tidak sihat. Mulakan perbualan dengan sesuatu yang positif seperti "saya bersedia untuk melakukan perubahan cuma boleh terangkan dengan lebih jelas tak tentang apa yang diperkatakan tempoh hari?" Cara sebegini bukan sahaja meleraikan kekusutan tetapi juga menambahkan rasa hormat pengkritik terhadap diri kita.


6) Mempunyai keyakinan diri yang tinggi
Walaupun kita perlu mengambil pendekatan yang positif apabila berhadapan dengan kritikan, ia tidaklah bermakna kita perlu melayan kritikan yang jelas tidak berasas. Jika kita merasakan kritikan yang diberi tidak benar dan semata-mata bagi menimbulkan masalah, abaikan sahaja perilaku sebegitu. Namun perlu diingatkan bahawa mengabaikan bukan bermakna bermasam muka dan bermusuh selepas itu, cuma jangan dilayan. Jika dirasakan ia menjadi-jadi, berbicanglah dengan cara bersemuka agar kita tahu punca sebenar permasalahan tersebut.


Memberi Kritikan yang Membina

1)Niat
Kritikan membina adalah sebaik-baik kritikan kerana ia akan membantu seseorang untuk melakukan perubahan positif pada diri. Tanpa kritikan membina juga boleh menyebabkan seseorang itu selesa dengan tahap pencapaian dirinya tanpa berusaha lebih untuk memperbaiki diri atau terus menerus berada di dalam kejahilan. Namun perlu diingatkan bahawa dalam memberikan kritikan perlulah disertakan niat yang baik dan bukan kerana dipengaruhi oleh dengki atau rasa "insecure". Jikalau kritikan yang hendak dibuat tidak disertakan dengan niat untk melihat perubahan yang lebih baik daripada seseorang, baiklah pendamkan sahaja niat untuk mengkritik. Rasulullah saw bersabda;

"Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu." (HR. Ahmad)  


2) Mengkritik dengan lemah-lembut
Kritikan yang dihadiri dengan ucapan yang baik dan lemah-lembut akan mengelakkan seseorang daripada berkecil hati. Jika benar perubahan yang baik seiiring dengan tuntutan Al-uran dan As-sunnah yang kita harapkan daripada seseorang, maka berkata baiklah. Perkataan yang kasar walaupun didahului dengan niat yang baik akan menjauhkan seseorang daripada menerima kritikan yang diberikan.

Allah swt berfirman; "dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik" (Qu'ran 2:83) 
dan Rasulullah saw bersanda ;"Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat hendaklah berkata yang baik atau diam." (Mutafaqqun 'alaihi)

3)
Jangan bersikap angkuh
Apabila melakukan kritikan, jangan pula terperangkap dengan sikap angkuh atau takabbur. Meminta supaya orang mengikut cara kita yang kita rasakan tepat dan benar atau merendah-rendahkan orang lain hanya kerana mereka tidak mengikut cara kita adalah salah sama sekali. Proses mewujudkan kritikan yang membina  tidak lain adalah bertujuan untuk menolong seseorang untuk melakukan perubahan positif dan bukannya menambahkan lagi keegoan kita.


Allah swt berfirman; "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Qur'an 31:18)
"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Beliau bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (HR. Muslim)

4) Beri kritikan dengan jelas dan tepat
Seseorang yang mengkritik dengan niat yang baik pasti tidak akan melakukan kritikan dengan cara memerli atau berbelit-belit. Kata-kata yang ditujukan adalah jelas, membina dan penuh hikmah. Maka, perlu difikirkan penjelasan yang terbaik agar pihak yang menerima kritikan menerimanya dengan baik dan tidak salah faham.

5) Berikan penyelesaian terhadap kritikan
Kritikan tidak harus berlaku sekadar hanya untuk menyatakan kesilapan atau teguran kepada seseorang. Kritikan yang membina haruslah disertakan dengan jalan-jalan penyelesaian yang baik. Dengan cara ini, mereka yang dikritik akan dapat melihat kebenaran kata-kata kita serta tidak teragak-agak untuk berubah jika dirasakan benar.


6) Kritikan haruslah diberikan tanpa melibatkan pihak ketiga
Sangat penting untuk menjaga air muka orang yang dikritik kerana kritikan yang etrbuka akan mengundang rasa malu terhadap pihak lain yang mendengar. Kritikan sebegini menampakkan keikhlasan dalam mengkritik. Jika tidak berkesempatan untuk berjumpa secara persendirian, kaedah lain juga boleh digunakan seperti menghantar email atau menelefon.


Diharapkan dengan kaedah di atas sedikit-sebanyak dapat mendidik diri kita melakukan kritikan membina dan mengurus kritikan yang diberikan dengan bijak agar kita sentiasa dapat memelihara hubungan sesama manusia seperti yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Selamat mencuba!






Thursday, 25 August 2011

Jangan Biarkan Roh Mati, Ramadhan adalah Satu Permulaan.

SOPHEA MOHD ALI | AUGUST 26, 2011 |10:15AM
_________________________________________________________________________


Begitu sinonim bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dengan amalan-amalan soleh yang ditabur demi mengutip ganjaran daripada Allah swt. Namun sedarkah kita bahawa ganjaran pahala semata-mata bukanlah matlamat 
pengisian malam-malam Ramadhan kerana tersirat suatu keperluan tenat di sebalik amalan soleh yang disarankan oleh Rasulullah saw untuk di manfaatkan sebaik mungkin.

Keperluan tenat dalam maksud sebenar adalah apabila pembacaan Al-Quran di malam Ramadhan ini secara langsung bertindak sebagai  pengimbang keperluan badan dan jiwa kita. Kita telah pun "obsess" memenuhi keperluan fizikal dan kerap mengabaikan makanan jiwa ini disepanjang tahun. Maka pada bulan ini, sangatlah perlu untuk kita mengimbangi semula keadaan tersebut bagi melahirkan jasmani dan rohani yang sihat. Justeru itu, kesedaran bahawa Ramadhan juga merupakan  bulan pertolongan Allah swt terhadap kita amatlah penting. Allah swt menahan badan kita daripada menerima makanan di waktu siang dan menggalakkan pula kita untuk memberi makanan kepada jiwa di waktu malam bagi mengembalikan semula keseimbangan di antara jasmani dan rohani tersebut.

Roh juga sama seperti fizikal yang boleh menjadi lemah, kurus dan sakit jika tiada penjagaan pemakanan yang secukupnya. Ia juga boleh diibaratkan seperti dua orang yang sedang kelaparan semasa di bulan Ramadhan. Seperti kita mempunyai dua orang anak tetapi kita hanya memberi makan kepada seorang anak sahaja. Natijahnya, kematian pasti berlaku ke atas anak yang diabaikan tadi.

Seriusnya kematian jiwa ini apabila ia mampu menjurus kepada kematian tauhid yang akan melahirkan insan yang hilang kepercayaan bertuhan mereka.Maka tidak hairanlah jika kita melihat ramai di kalangan muslim pada hari ini sudah mula goyah kepercayaan mereka terhadap Islam akibat mengabaikan terus pembacaan Al-Quran.Roh mereka telah koma dan akhirnya menemuai ajal. Alhasil, kita mendengar mereka berkata bahawa saya tidak pasti tuhan itu wujud atau tidak.

Seperti badan kita yang dijadikan daripada tanah memerlukan makanan yang ada di muka bumi untuk hidup, begitu juga dengan roh kita yang telah dimasukkan cahaya sejak dari dalam kandungan  ibu lagi dan cahaya itu memerlukan makanan yang juga diturunkan sebagai cahaya untuk lengkap melengkapi.Makanan roh kita adalah Al-Quran yang juga dipanggil sebagai cahaya  oleh Allah swt. Kedua-dua cahaya ini perlu bersatu demi mendapatkan kesuburannya. Allah swt menerangkan tentang kepergantungan ini di dalam surah An-Nur, "cahaya berlapis cahaya" iaitu cahaya di dalam roh berlapis dengan cahaya Al-Quran.

Allah swt berfirman;

Al-Quran adalah sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil) geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu- dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya)walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNYA itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah maha mengetahui tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nur 24:35)

Allah swt sebenarnya meletakkan kita di dalam satu kursus di mana kita mula mengurangkan pengambilan makanan masuk ke dalam badan dan memberi ruang kepada roh kita untuk terus subur. Proses penyuburan roh ini berlaku di waktu malam di  sepanjang Ramadhan.Proses di mana kita membuka dan membaca Al-Quran.Tetapi jika pembacaan Al-Quran di Ramadhan yang mulia ini masih dipandang  ringan oleh kebanyakan kita, maka terabailah pembelaan jiwa tersebut.Mereka ini walaupun tampak secara zahirnya merupakan seorang muslim yang sihat tetapi hakikatnya rohani mereka sedang tenat menderita.

Maka dengan itu, di kesempatan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut Aidilfitri, marilah kita memperbetulkan kembali persepsi kita bahawa pembacaan Al-Quran adalah satu keperluan yang serius bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala. Dengan memahami kebergantungan jiwa terhadap Al-Quran, ianya tidak mungkin lagi menjadi satu pilihan untuk kita tidak memanfaatkan keajaiban yang Allah swt kurniakan ini. Sama-samalah kita mengambil peluang ini untuk menyuburkan lagi jiwa kita agar tidak mati, malah semakin bersinar cahaya kesuburannya di Ramadhan ini dan juga berterusan sepanjang tahun...Insha'allah..

Friday, 29 July 2011

Solat Adalah Hadiah Daripada Allah swt

SOPHEA MOHD ALI | JULY 30, 2011 3.01PM





Kita semua mahukan penyudahan yang baik dalam hidup. Mahu mati kita di dalam keadaan yang baik dan diredhai Allah swt. Namun adakah cara kita menjalani kehidupan sehari-hari mampu membawa kita kepada matlamat tersebut? Atau mungkin ada di antara kita tidak kisah sama ada mati dalam keadaan baik atau tidak(nauzubillahi minzalik)? Apa pun keputusan yang diambil,mati adalah suatu kepastian dalam hidup. Mahu atau tidak keputusan mesti diputuskan.


Namun hati sedih melihat realiti kehidupan masyarakat Islam pada hari ini yang rata-rata tidak lagi melambangkan kesucian Islam malah membawa fitnah pula kepada Islam. Keadaan kebanyakan mereka melihat kehidupan seperti menawarkan seribu tahun lagi untuk mereka hidup. Kita melihat pelbagai permasalahan ummah pada hari ini. Saban hari ada sahaja berita yang mengejutkan berlaku di sekeliling kita. Rogol, rompakan, pembunuhan, buli, rempit, keruntuhan akhlak dan bermacam-macam lagi masalah sosial yang sangat membimbangkan terjadi di kalangan masyarakat Islam. Pening memikirkan di manakah silapnya  sehingga terjadi perkara yang tidak baik dalam kehidupan yang hanya sekali. Kehidupan yang sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin namun diperlakukan seperti kotak kosong yang disepak ke sana sini tanpa tujuan yang jelas. Rata-rata sudah jauh meninggalkan Islam yang sepatutnya menjadi perisai bagi menghadapi liku-liku kehidupan namun dibiar terus tanpa praktikal, yang tinggal hanya nama mereka sebagai Islam. 


Allah swt telah memilih Islam sebagai agama kita untuk dijadikan panduan hidup di dunia dan panduan untuk mencapai kehidupan akhirat yang sempurna. Islam adalah solusi kepada kehidupan. Namun,apa yang menghairankan, mengapa umat Islam masih dibelenggu dengan pelbagai permasalahan hidup yang membawa kesengsaraan pada diri? Umat Islam cukup bertuah jika dibandingkan dengan mereka yang beragama selain Islam kerana Islam adalah agama yang cukup sempurna dengan panduan yang lengkap disediakan oleh Allah swt  bagi menjalani kehidupan yang penuh mencabar ini dengan baik. Bukan itu sahaja, dengan rahmat Allah swt yang Maha pemurah dan Maha Penyayang mengurniakan pula kita seorang Rasul untuk dijadikan panduan.

 
Kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah perahu yang telah tersedia di permukaan sungai. Segala kelengkapan seperti pendayung, peta sebagai panduan dan bekalan makanan telah tersedia, yang tinggal hanya menunggu kita untuk mendayungnya sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Namun kebanyakan kita yang mendayung sampan tadi tidak menggunakan segala kemudahan yang diberikan dengan baik. Peta yang tersedia tidak dibaca atau tidak dijadikan panduan maka tersesatla mereka di dalam perjalanan tersebut. Ada juga di antaranya tidak merancang pemakanan mereka di sepanjang perjalanan yang menyebabkan makanan habis sebelum sampai ke destinasi. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan akan situasi umat Islam pada hari ini. 


Jawapan yang sebenar mungkin lebih mudah daripada apa yang kita fikirkan. Apabila perisai diri tidak lagi digunakan atau dibuang terus, maka diri tidak mungkin lagi mampu bertahan untuk tidak melakukan perkara-perkara di luar batasan. Punca yang mendominasikan semua permasalahan yang berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini adalah hanya satu, iaitu solat. Solat yang diabaikan terus, solat yang tidak dilakukan secara konsisten atau solat yang tidak memberi kesan langsung kepada hati, iaitu solat yang hanya berpusatkan kepada pergerakan badan semata-mata tetapi tidak mempengaruhi perbuatan dan tidak mampu mewujudkan hubungan baik dengan Allah swt. 


Allah swt Berfirman; "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Quran 29:45.) 


Jika kita bersolat tetapi masih melakukan perkara maksiat, maka adalah lebih baik kita melihat semula pelaksanaan solat yang dilakukan. Kita sering mendengar kenyatan daripada sesetengah kaum hawa yang berpakaian menjolok mata mengenai penilaian masyarakat terhadap mereka.Kenyataan yang biasa kita dengari adalah seperti “janganlah dinilai hanya pada luaran kami tetapi nilailah pada hati kami.” Walaupun mereka berpakaian tidak menutup aurat tetapi mereka bersolat. Terdapat satu kesilapan besar di dalam memahami pengaruh solat. Solat sepatutnya menjadi perisai umat Islam daripada terjebak di dalam pengaruh berunsur maksiat. Berpakaian yang tidak menutup aurat adalah satu maksiat yang nyata. Jadi jika seseorang yang bersolat tetapi masih tegar melakukan perkara maksiat, apakah solat yang dilakukan berkesan? Bersolat tetapi masih tidak dapat mengawal diri daripada mengumpat dan melakukan perbuatan yang sia-sia juga merupakan ciri-ciri solat yang masih tidak sampai ke hati insan yang bersolat. Sepatutnya, dengan solat yang sempurna akan membimbing mereka untuk menutup aurat dan menjadi muslimah yang lebih sempurna di mata Allah swt.

 
Allah swt memberikan umat nabi Muhammad saw kelebihan berbanding umat-umat sebelumnya. Solat adalah hadiah daripada Allah swt kepada kita. Solat adalah solusi kepada semua masalah yang kita hadapi. Terdapat pelbagai hikmah apabila insan benar-benar menjaga solat. Sesetengah kita silap menilai perintah Allah swt untuk bersolat. Mereka melihat solat sebagai sesuatu yang membebankan sedangkan solat adalah keringanan buat mereka. Solat merupakan pertolongan Allah swt kepada kita umat Nabi Muhammad saw. 


Jabir r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Lima kali solat setiap hari itu adalah seumpama sebuah anak sungai yang dalam mengalir di depan pintu rumah seseorang yang mandi di dalamnya lima kali sehari." 


Cuba kita bayangkan hidup tanpa bersolat. Dosa yang kita lakukan setiap hari daripada awal kita membuka mata sehingga kita memejamkan mata semula di malam hari tiada penyucian di antaranya. Ia seperti periuk yang kerap digunakan tanpa dicuci bahagian belakangnya.Hitam melekat. Lama kelamaan kehitaman itu sangat sukar dibersihkan kerana menjadi terlalu berkerak dan keras. Begitulah juga dengan dosa yang kita lakukan tanpa penyucian secara berterusan. 


Solat adalah penghubung antara kita dengan Allah swt.Hubungan ini jika benar-benar dijaga dan diutamakan, ia akan menghasilkan kebahagiaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Perasaan yang lebih asyik daripada semua perasaan indah yang kita rasai di sepanjang kehidupan ini. Perasaan yang tidak mahu kita ganti dengan apa sekalipun yang ditawarkan di dunia ini. Malah bukan itu sahaja, dengan meletakkan solat  sebagai keutamaan di dalam hidup, insan akan merasai kehidupan dipandu oleh Allah swt. Segala permasalahan dunia adalah sangat kecil di mata insan yang mempunyai hubungan baik dengan Allah swt kerana pergantungan insan ini adalah kepada yang Maha tinggi. 


Allah swt berfirman yang bermaksud; "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”(Qur’an 13:28)

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Insan yang merasai hubungan istimewa ini tidak akan lagi mahu memusnahkan ia dengan segala maksiat walaupun sekecil- kecil maksiat.Inilah juga bukti kepada kewujudan Allah swt yang perlu kita lakukan demi merasai hasilnya, yang dikatakan iman. Masalah utama umat Islam hari ini adalah kerana menganggap agama adalah sesuatu yang bersaingan dengan kehidupan, maka sukar lah untuk mereka menghayati keindahan Islam. Islam perlu dibawa di dalam semua aspek kehidupan dan barulah nikmat Islam dapat kita rasai.

 
Allah S.W.T berfirman; “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama islam itu secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya bagi kamu itu musuh yang nyata”.(Al-Baqarah : 208) 


Jika Allah swt menduga kita, mengapa perlu kita mencari penyelesaian di tempat selainnya? Jika kita disaman oleh pihak polis, adakah kita akan mencari penyelesaian di balai Bomba?Jawapannya pasti tidak. Sudah tentu kita akan pergi ke Balai Polis untuk menyelesaikan saman tersebut atau membuat rayuan bagi mengurangkan saman. Begitu jugalah dengan permasalahan hidup. Kita mesti berbalik kepada sumber yang memberikan masalah atau dugaan kepada kita.


Solat memberi peluang kepada kita untuk mengadu domba kepada Allah swt tentang apa sahaja permasalahan namun masih ramai yang mencari pelbagai sumber lain yang tidak mampu menolong mereka kerana  hakikatnya segala sesuatu itu terletak di tangan Allah swt. Amat rugi jika seorang Islam yang mengaku beriman tetapi tidak mencari dan merasai kemanisan berhubungan dengan Allah swt. Inilah dikatakan solat sepatutnya mampu mengubah sikap atau sifat buruk manusia kepada kebaikan. Yang menjadi perisai kepada kehidupan yang penuh cubaan dan dugaan daripada Allah swt.
                                                
Penyudahan yang baik memerlukan mujahadah yang berterusan. Tanpa memandang serius akan rahmat kehidupan  yang dikurniakan oleh Allah swt dan mempersiapkan diri dengan ilmu agama, insan hanya menjalani kehidupan yang amat sia-sia. Kita, umat Islam sudah pun dikurniakan berlian tetapi jika tidak tahu menilainya, berlian akan tiada nilainya seperti kaca . Manusia mencari bahagia di merata-rata, namun  alpa hahawa kebahagiaan yang hakiki hanya dapat dimiliki apabila manusia dekat dengan Rabbnya. Bahagia itu terletak di dalam solat. 



Solat yang tinggi penghayatannya.