Atasi Kritikan yang Tidak Membina dan Mulakan Kritikan Membina!
Di setiap tempat kerja, setiap rumah dan setiap hubungan sosial, kritikan menjadi makanan seharian kita. Kritikan yang tidak membina adalah suatu fenomena biasa di dalam kehidupan. Selagi kita menyerlah, produktif, berjaya, tidak sefikrah dengan orang lain dan mampu menggugat kredibiliti seseorang, bersedialah untuk kerap menghadapi kritikan jenis ini. Kecuali, jika kita mampu untuk tidak dikesan oleh manusia dengan hidup di bawah tanah atau pun mencipta roket yang boleh membawa kita ke angkasa, barulah kita boleh bernafas lega kerana terhindar daripada sumber kritikan sebegini. Pendek kata, selagi kita bertempat di planet bumi, harapkan untuk disakiti, dihina dan dikritik!
Allah swt yang Maha Agung, pencipta sekalian makhluk lagikan dihina oleh manusia-manusia yang jahil, inikan pula kita hambanya yang kerdil dan penuh dosa. Islam mampu sampai dan dinikmati oleh kita hari ini bukankah hasil daripada kesabaran Rasulullah saw menghadapi kritikan? Jadi, layanan yang bagaimana kita harapkan daripada manusia? Kita akan sentiasa menghadapi kritikan manusia, diserang tanpa putus dan ianya tidak akan berakhir selagi kita bernyawa.
Ketidakpuasan hati manusia tidak datang tanpa sebab. Seseorang yang kelebihannya terserlah dan melebihi orang lain dalam sesuatu perkara seperti lebih alim, lebih berpengetahuan, berakhlak mulia atau lebih kaya menjadi faktor penyumbang kepada kritikan yang tidak membina. Manusia yang sakit mudah tergugat dan tidak merasa selamat dengan keadaan ini. Siapa yang rela digugat? Hanya manusia positif sahaja yang akan terus-menerus memperbaiki kelemahan diri tanpa menyimpan dendam atau dengki. Namun, hidup di tengah-tengah mentaliti yang mengutamakan kebendaan semata-mata, sikap sebegini sememangnya sukar dikikis. Masing-masing mahu menunjukkan kehebatan diri dan sanggup tindas-menindas. Hanya taqwa kepada Allah swt sahaja mampu menjernihkan keadaan.
Di dalam Islam, Kita disarankan untuk bersikap sesederhana mungkin. Jika kita seorang yang berpengetahuan sekalipun, hendaklah kita sentiasa bersikap rendah diri dan tidak bongkak bagi menghalang fitnah yang lebih besar daripada berlaku.Seringkali, kritikan yang tidak membina membawa kepada pergaduhan atau kesedihan apabila kita tidak mampu menghadapinya dengan bijak.Untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku dan bagi menjaga hubungan yang baik sesama manusia, kita perlu tahu cara yang berkesan untuk mengatasinya agar pergaduhan, bermasam muka dan sebagainya dapat dielakkan kerana ukhuwah yang baik adalah antara perkara penting yang disarankan di dalam islam. Rasulullah saw bersabda;
“Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih daripada tiga hari” ( Riwayat Bukhari)
Sebagai seorang Muslim juga, mencegah kemungkaran adalah menjadi tanggungjawab bersama.
Allah swt berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 ;“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
Allah swt berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 ;“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
Namun seringkali juga kita berada di dalam dilema untuk menjalankan amanah ini kerana bimbang pihak yang dikritik tidak dapat menerima dengan hati yang terbuka. Maka dengan itu, cara dan pendekatan yang terbaik dalam mencegah kemungkaran atau memberi kritikan mesti di pelajari dan diamalkan agar tidak berlaku pertelingkahan atau menjauhkan seseorang daripada mengenali Islam dan yang paling perlu dijaga adalah hubungan kita dengan Allah swt tidak terjejas akibat gagal mengendalikan amanah tersebut dengan baik. Menyedari akan kepentingan subjek ini, saya ingin berkongsi beberapa panduan pengurusan kritikan bagi mengekalkan keharmonian perhubungan sesama manusia lebih-lebih lagi hubungan sesama islam.
Cara Untuk Mengatasi Kritikan yang Tidak Membina
1) Jangan pernah putus berdoa
Doa mesti didahulukan dalam apa jua perkara sekalipun. Kita tidak akan mampu menghadapi segala cabaran hidup tanpa mengharapkan pertolongan dari Allah swt. Mohon Allah swt berikan kekuatan untuk menghadapi segala kritikan agar kita tidak mudah melenting marah, sedih, berperasangka buruk, angkuh, bersikap "defensive" dan sebagainya yang secara tidak langsung akan menjauhkan kita dari redha Allah swt.
2) Bersikap cekal, sabar & pemaaf
Di mata pengkritik, orang yang mempunyai kelebihan ini adalah pengacau yang menggugat kredibiliti diri mereka. Di antara tujuan mengkritik tidak lain adalah mengharapkan agar seseorang yang dikritik itu tidak tunjuk pandai, tidak produktif, tidak berjiwa besar dan "playing dumb" selepas itu. Hasil tomahan atau kelemahan sebeginilah yang mahu dilihat oleh para pengkritik ini. Maka dari itu, bersikap cekal dan bersabarlah apabila menghadapi sebarang hinaan atau kritikan yang tidak membina daripada golongan ini. Jika kita mudah terkesan dengan kata-kata meraka dan kritikan negatif itu mempengaruhi mood dan perasaan kita, tanpa sedar kita sebenarnya sudah pun merealisasikan harapan mereka.
Daripada menunjukkan reaksi yang merugikan diri sendiri, adalah lebih baik jika kita memaafkan mereka dan menunjukkan sikap yang baik terhadap mereka. Jauhkan diri jika perlu tanpa memutuskan silaturahim dan tidak perlu merasa terkesan dengan tindakan mereka. Kritikan mereka itu sebenarnya menunjukkan ada sesuatu yang baik dan bernilai dalam diri kita maka pilihlah untuk berfikiran possitif. Dengan cara itu potensi diri dapat terus-menerus digilap tanpa perlu memberikan ruang pada diri untuk bersedih. Contohilah sikap Rasulullah saw yang apabila disakiti, baginda membalas dengan kebaikan pula.
3) Berbaik sangka
Sekali-sekala tanyakan diri kita "Mengapa agaknya manusia sanggup meluangkan banyak masa dan tenaga untuk mengkritik kita?" Mungkin disebabkan oleh rasa ambil berat mereka terhadap kita. Mungkin juga kerana mereka inginkan yang terbaik buat kita. Tidak salah untuk berbaik sangka malah dituntut di dalam islam walaupun kita sedar keadaan adalah sebaliknya tetapi ia adalah jauh lebih baik daripada terus-menerus tenggelam di dalam prasangka yang tak berkesudahan dan melemaskan, bukan? Prasangka baik juga boleh mengelakkan diri dari terus terjerumus dengan bisikan syaitan yang sering mengapi-apikan keadaan agar menjadi lebih buruk seterusnya menambahkan akaun dosa kita.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Qur'an 49:12)
4) Ia adalah ruang perbaiki diri dan Muhasabah
Raikan kritikan kerana dengan cara ini kita juga berpeluang untuk menilai diri. Jangan terlalu bersikap "defensive" sehinggakan kita langsung tidak mahu menilai sama ada kritikan yang diberikan itu benar atau tidak. Guna kritikan yang diberi dengan cara yang positif dan anggap ia sebagai suatu hadiah yang memanfaatkan. Kritikan juga boleh menjadi satu alat bantuan untuk mengesan kelemahan diri dan sebagai proses pembelajaran sepanjang hidup. Islam juga menyarankan kita agar sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri dari masa ke masa. Pahala berterusan akan dapat kita raih jika kita sentiasa berniat untuk menjadi manusia yang lebih baik dari masa ke masa kerana Allah swt.
5) Jangan malu meminta penjelasan
Jika kritikan yang diberi tidak dapat difahami dengan jelas, jangan malu untuk meminta penjelasan. Ia adalah lebih baik daripada memendam perasaan yang akhirnya membawa kepada hubungan yang tidak sihat. Mulakan perbualan dengan sesuatu yang positif seperti "saya bersedia untuk melakukan perubahan cuma boleh terangkan dengan lebih jelas tak tentang apa yang diperkatakan tempoh hari?" Cara sebegini bukan sahaja meleraikan kekusutan tetapi juga menambahkan rasa hormat pengkritik terhadap diri kita.
6) Mempunyai keyakinan diri yang tinggi
Walaupun kita perlu mengambil pendekatan yang positif apabila berhadapan dengan kritikan, ia tidaklah bermakna kita perlu melayan kritikan yang jelas tidak berasas. Jika kita merasakan kritikan yang diberi tidak benar dan semata-mata bagi menimbulkan masalah, abaikan sahaja perilaku sebegitu. Namun perlu diingatkan bahawa mengabaikan bukan bermakna bermasam muka dan bermusuh selepas itu, cuma jangan dilayan. Jika dirasakan ia menjadi-jadi, berbicanglah dengan cara bersemuka agar kita tahu punca sebenar permasalahan tersebut.
Memberi Kritikan yang Membina
1)Niat
Kritikan membina adalah sebaik-baik kritikan kerana ia akan membantu seseorang untuk melakukan perubahan positif pada diri. Tanpa kritikan membina juga boleh menyebabkan seseorang itu selesa dengan tahap pencapaian dirinya tanpa berusaha lebih untuk memperbaiki diri atau terus menerus berada di dalam kejahilan. Namun perlu diingatkan bahawa dalam memberikan kritikan perlulah disertakan niat yang baik dan bukan kerana dipengaruhi oleh dengki atau rasa "insecure". Jikalau kritikan yang hendak dibuat tidak disertakan dengan niat untk melihat perubahan yang lebih baik daripada seseorang, baiklah pendamkan sahaja niat untuk mengkritik. Rasulullah saw bersabda;
"Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu." (HR. Ahmad)
2) Mengkritik dengan lemah-lembut
Kritikan yang dihadiri dengan ucapan yang baik dan lemah-lembut akan mengelakkan seseorang daripada berkecil hati. Jika benar perubahan yang baik seiiring dengan tuntutan Al-uran dan As-sunnah yang kita harapkan daripada seseorang, maka berkata baiklah. Perkataan yang kasar walaupun didahului dengan niat yang baik akan menjauhkan seseorang daripada menerima kritikan yang diberikan.
Allah swt berfirman; "dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik" (Qu'ran 2:83)
3) Jangan bersikap angkuh
Apabila melakukan kritikan, jangan pula terperangkap dengan sikap angkuh atau takabbur. Meminta supaya orang mengikut cara kita yang kita rasakan tepat dan benar atau merendah-rendahkan orang lain hanya kerana mereka tidak mengikut cara kita adalah salah sama sekali. Proses mewujudkan kritikan yang membina tidak lain adalah bertujuan untuk menolong seseorang untuk melakukan perubahan positif dan bukannya menambahkan lagi keegoan kita.
Allah swt berfirman; "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Qur'an 31:18)"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Beliau bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (HR. Muslim)
Allah swt berfirman; "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Qur'an 31:18)"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Beliau bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (HR. Muslim)
4) Beri kritikan dengan jelas dan tepat
Seseorang yang mengkritik dengan niat yang baik pasti tidak akan melakukan kritikan dengan cara memerli atau berbelit-belit. Kata-kata yang ditujukan adalah jelas, membina dan penuh hikmah. Maka, perlu difikirkan penjelasan yang terbaik agar pihak yang menerima kritikan menerimanya dengan baik dan tidak salah faham.
Kritikan tidak harus berlaku sekadar hanya untuk menyatakan kesilapan atau teguran kepada seseorang. Kritikan yang membina haruslah disertakan dengan jalan-jalan penyelesaian yang baik. Dengan cara ini, mereka yang dikritik akan dapat melihat kebenaran kata-kata kita serta tidak teragak-agak untuk berubah jika dirasakan benar.
6) Kritikan haruslah diberikan tanpa melibatkan pihak ketiga
Sangat penting untuk menjaga air muka orang yang dikritik kerana kritikan yang etrbuka akan mengundang rasa malu terhadap pihak lain yang mendengar. Kritikan sebegini menampakkan keikhlasan dalam mengkritik. Jika tidak berkesempatan untuk berjumpa secara persendirian, kaedah lain juga boleh digunakan seperti menghantar email atau menelefon.
Sangat penting untuk menjaga air muka orang yang dikritik kerana kritikan yang etrbuka akan mengundang rasa malu terhadap pihak lain yang mendengar. Kritikan sebegini menampakkan keikhlasan dalam mengkritik. Jika tidak berkesempatan untuk berjumpa secara persendirian, kaedah lain juga boleh digunakan seperti menghantar email atau menelefon.
Diharapkan dengan kaedah di atas sedikit-sebanyak dapat mendidik diri kita melakukan kritikan membina dan mengurus kritikan yang diberikan dengan bijak agar kita sentiasa dapat memelihara hubungan sesama manusia seperti yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Selamat mencuba!
