Kita semua mahukan penyudahan yang baik dalam hidup. Mahu mati kita di dalam keadaan yang baik dan diredhai Allah swt. Namun adakah cara kita menjalani kehidupan sehari-hari mampu membawa kita kepada matlamat tersebut? Atau mungkin ada di antara kita tidak kisah sama ada mati dalam keadaan baik atau tidak(nauzubillahi minzalik)? Apa pun keputusan yang diambil,mati adalah suatu kepastian dalam hidup. Mahu atau tidak keputusan mesti diputuskan.
Namun hati sedih melihat realiti kehidupan masyarakat Islam pada hari ini yang rata-rata tidak lagi melambangkan kesucian Islam malah membawa fitnah pula kepada Islam. Keadaan kebanyakan mereka melihat kehidupan seperti menawarkan seribu tahun lagi untuk mereka hidup. Kita melihat pelbagai permasalahan ummah pada hari ini. Saban hari ada sahaja berita yang mengejutkan berlaku di sekeliling kita. Rogol, rompakan, pembunuhan, buli, rempit, keruntuhan akhlak dan bermacam-macam lagi masalah sosial yang sangat membimbangkan terjadi di kalangan masyarakat Islam. Pening memikirkan di manakah silapnya sehingga terjadi perkara yang tidak baik dalam kehidupan yang hanya sekali. Kehidupan yang sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin namun diperlakukan seperti kotak kosong yang disepak ke sana sini tanpa tujuan yang jelas. Rata-rata sudah jauh meninggalkan Islam yang sepatutnya menjadi perisai bagi menghadapi liku-liku kehidupan namun dibiar terus tanpa praktikal, yang tinggal hanya nama mereka sebagai Islam.
Allah swt telah memilih Islam sebagai agama kita untuk dijadikan panduan hidup di dunia dan panduan untuk mencapai kehidupan akhirat yang sempurna. Islam adalah solusi kepada kehidupan. Namun,apa yang menghairankan, mengapa umat Islam masih dibelenggu dengan pelbagai permasalahan hidup yang membawa kesengsaraan pada diri? Umat Islam cukup bertuah jika dibandingkan dengan mereka yang beragama selain Islam kerana Islam adalah agama yang cukup sempurna dengan panduan yang lengkap disediakan oleh Allah swt bagi menjalani kehidupan yang penuh mencabar ini dengan baik. Bukan itu sahaja, dengan rahmat Allah swt yang Maha pemurah dan Maha Penyayang mengurniakan pula kita seorang Rasul untuk dijadikan panduan.
Kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah perahu yang telah tersedia di permukaan sungai. Segala kelengkapan seperti pendayung, peta sebagai panduan dan bekalan makanan telah tersedia, yang tinggal hanya menunggu kita untuk mendayungnya sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Namun kebanyakan kita yang mendayung sampan tadi tidak menggunakan segala kemudahan yang diberikan dengan baik. Peta yang tersedia tidak dibaca atau tidak dijadikan panduan maka tersesatla mereka di dalam perjalanan tersebut. Ada juga di antaranya tidak merancang pemakanan mereka di sepanjang perjalanan yang menyebabkan makanan habis sebelum sampai ke destinasi. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan akan situasi umat Islam pada hari ini.
Jawapan yang sebenar mungkin lebih mudah daripada apa yang kita fikirkan. Apabila perisai diri tidak lagi digunakan atau dibuang terus, maka diri tidak mungkin lagi mampu bertahan untuk tidak melakukan perkara-perkara di luar batasan. Punca yang mendominasikan semua permasalahan yang berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini adalah hanya satu, iaitu solat. Solat yang diabaikan terus, solat yang tidak dilakukan secara konsisten atau solat yang tidak memberi kesan langsung kepada hati, iaitu solat yang hanya berpusatkan kepada pergerakan badan semata-mata tetapi tidak mempengaruhi perbuatan dan tidak mampu mewujudkan hubungan baik dengan Allah swt.
Allah swt Berfirman; "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Quran 29:45.)
Jika kita bersolat tetapi masih melakukan perkara maksiat, maka adalah lebih baik kita melihat semula pelaksanaan solat yang dilakukan. Kita sering mendengar kenyatan daripada sesetengah kaum hawa yang berpakaian menjolok mata mengenai penilaian masyarakat terhadap mereka.Kenyataan yang biasa kita dengari adalah seperti “janganlah dinilai hanya pada luaran kami tetapi nilailah pada hati kami.” Walaupun mereka berpakaian tidak menutup aurat tetapi mereka bersolat. Terdapat satu kesilapan besar di dalam memahami pengaruh solat. Solat sepatutnya menjadi perisai umat Islam daripada terjebak di dalam pengaruh berunsur maksiat. Berpakaian yang tidak menutup aurat adalah satu maksiat yang nyata. Jadi jika seseorang yang bersolat tetapi masih tegar melakukan perkara maksiat, apakah solat yang dilakukan berkesan? Bersolat tetapi masih tidak dapat mengawal diri daripada mengumpat dan melakukan perbuatan yang sia-sia juga merupakan ciri-ciri solat yang masih tidak sampai ke hati insan yang bersolat. Sepatutnya, dengan solat yang sempurna akan membimbing mereka untuk menutup aurat dan menjadi muslimah yang lebih sempurna di mata Allah swt.
Allah swt memberikan umat nabi Muhammad saw kelebihan berbanding umat-umat sebelumnya. Solat adalah hadiah daripada Allah swt kepada kita. Solat adalah solusi kepada semua masalah yang kita hadapi. Terdapat pelbagai hikmah apabila insan benar-benar menjaga solat. Sesetengah kita silap menilai perintah Allah swt untuk bersolat. Mereka melihat solat sebagai sesuatu yang membebankan sedangkan solat adalah keringanan buat mereka. Solat merupakan pertolongan Allah swt kepada kita umat Nabi Muhammad saw.
Jabir r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Lima kali solat setiap hari itu adalah seumpama sebuah anak sungai yang dalam mengalir di depan pintu rumah seseorang yang mandi di dalamnya lima kali sehari."
Cuba kita bayangkan hidup tanpa bersolat. Dosa yang kita lakukan setiap hari daripada awal kita membuka mata sehingga kita memejamkan mata semula di malam hari tiada penyucian di antaranya. Ia seperti periuk yang kerap digunakan tanpa dicuci bahagian belakangnya.Hitam melekat. Lama kelamaan kehitaman itu sangat sukar dibersihkan kerana menjadi terlalu berkerak dan keras. Begitulah juga dengan dosa yang kita lakukan tanpa penyucian secara berterusan.
Solat adalah penghubung antara kita dengan Allah swt.Hubungan ini jika benar-benar dijaga dan diutamakan, ia akan menghasilkan kebahagiaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Perasaan yang lebih asyik daripada semua perasaan indah yang kita rasai di sepanjang kehidupan ini. Perasaan yang tidak mahu kita ganti dengan apa sekalipun yang ditawarkan di dunia ini. Malah bukan itu sahaja, dengan meletakkan solat sebagai keutamaan di dalam hidup, insan akan merasai kehidupan dipandu oleh Allah swt. Segala permasalahan dunia adalah sangat kecil di mata insan yang mempunyai hubungan baik dengan Allah swt kerana pergantungan insan ini adalah kepada yang Maha tinggi.
Allah swt berfirman yang bermaksud; "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”(Qur’an 13:28)
Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Insan yang merasai hubungan istimewa ini tidak akan lagi mahu memusnahkan ia dengan segala maksiat walaupun sekecil- kecil maksiat.Inilah juga bukti kepada kewujudan Allah swt yang perlu kita lakukan demi merasai hasilnya, yang dikatakan iman. Masalah utama umat Islam hari ini adalah kerana menganggap agama adalah sesuatu yang bersaingan dengan kehidupan, maka sukar lah untuk mereka menghayati keindahan Islam. Islam perlu dibawa di dalam semua aspek kehidupan dan barulah nikmat Islam dapat kita rasai.
Allah S.W.T berfirman; “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama islam itu secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya bagi kamu itu musuh yang nyata”.(Al-Baqarah : 208)
Jika Allah swt menduga kita, mengapa perlu kita mencari penyelesaian di tempat selainnya? Jika kita disaman oleh pihak polis, adakah kita akan mencari penyelesaian di balai Bomba?Jawapannya pasti tidak. Sudah tentu kita akan pergi ke Balai Polis untuk menyelesaikan saman tersebut atau membuat rayuan bagi mengurangkan saman. Begitu jugalah dengan permasalahan hidup. Kita mesti berbalik kepada sumber yang memberikan masalah atau dugaan kepada kita.
Solat memberi peluang kepada kita untuk mengadu domba kepada Allah swt tentang apa sahaja permasalahan namun masih ramai yang mencari pelbagai sumber lain yang tidak mampu menolong mereka kerana hakikatnya segala sesuatu itu terletak di tangan Allah swt. Amat rugi jika seorang Islam yang mengaku beriman tetapi tidak mencari dan merasai kemanisan berhubungan dengan Allah swt. Inilah dikatakan solat sepatutnya mampu mengubah sikap atau sifat buruk manusia kepada kebaikan. Yang menjadi perisai kepada kehidupan yang penuh cubaan dan dugaan daripada Allah swt.
Penyudahan yang baik memerlukan mujahadah yang berterusan. Tanpa memandang serius akan rahmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah swt dan mempersiapkan diri dengan ilmu agama, insan hanya menjalani kehidupan yang amat sia-sia. Kita, umat Islam sudah pun dikurniakan berlian tetapi jika tidak tahu menilainya, berlian akan tiada nilainya seperti kaca . Manusia mencari bahagia di merata-rata, namun alpa hahawa kebahagiaan yang hakiki hanya dapat dimiliki apabila manusia dekat dengan Rabbnya. Bahagia itu terletak di dalam solat.
Solat yang tinggi penghayatannya.

